Musharakah: Isu Jaminan Perlindungan Modal Dan Pengukuhan Kredit (Kertas Kerja)

Di antara perbincangan utama yang sering ditimbulkan apabila kontrak pelaburan seperti mudarabah dan musharakah ingin diperluaskan penggunaannya oleh institusi kewangan Islam adalah berkaitan isu pelindungan modal pelaburan oleh mudarib dan mush?rik atau pihak ketiga. Isu ini penting bagi memastikan prinsip pelaburan Islam yang sebenar ini mampu untuk terus berkembang dan memberikan manfaat kepada perkembangan industri, pelabur dan pengguna.
Setelah sering menjadi mangsa perbandingan tidak setara dengan produk-produk pelaburan konvensional yang memberikan jaminan keuntungan tetap dan perlindungan modal sekaligus, prinsip mudarabah dan musharakah tercabar di antara menjaga kepatuhan Shari’ah dan juga menangani permintaan pelanggan. Justeru, isu jaminan modal akan dihuraikan secara padat dan ringkas di dalam kertas ini.
Di samping itu, beberapa teknik pengukuhan kredit produk pelaburan mudarabah dan musharakah seperti Investment Risk Reserve (IRR), Profit Equalization Reserve (PER), janji beli asset pelaburan (purchase undertaking) juga turut disentuh. Namun disebabkan setiap isu memerlukan huraian dan data penting bagi pembentangan mencapai maksudnya, pelbagai teknik pengukuhan kredit yang lain tidak dapat disertakan di dalam kertas ini.